Mungkinkah anak anda berpotensi untuk Cacat Penglihatan seumur hidup?

March 24, 2016

 

Masalah penglihatan pada kanak-kanak kerap kali terabai. Hal ini mungkin kerana mereka terlalu kecil dan muda untuk mengadu serta tidak dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan penglihatan jelas.

 

Hakikatnya, penglihatan kanak-kanak sangat penting kerana ia merupakan deria yang perlu dirangsang sejak awal lagi agar dapat berkembang dengan baik dan normal. Kelewatan merawat boleh mengakibatkan kecacatan penglihatan seumur hidup.

 

Masalah cacat penglihatan yang sering menghantui ramai orang adalah amblyopia / lazy eye. Amblyopia bukanlah sejenis penyakit mata. Ia tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana keadaannya yang tidak nyata namun dapat dikesan melalui pemeriksaan penglihatan.

 

Amblyopia adalah suatu keadaan tahap penglihatan yang kurang daripada normal tanpa ada sebarang kerosakan atau penyakit mata yang lain.

 

Amblyopia terjadi disebabkan rabun yang tidak dirawat daripada awal usia lagi. Rabun yang dibiarkan tanpa pembetulan boleh mengakibatkan saraf mata (retina) menjadi lemah kerana imej cahaya yang memasuki mata tidak terfokus dengan tepat di atas retina.

 

Keadaan mata amblyopia ini juga turut boleh menyebabkan juling. Mata amblyopia yang tidak dirawat akan kekal kabur seumur hidup walaupun dengan pemakaian cermin mata, kanta sentuh mahupun prosedur pembedahan refraktif seperti LASIK.

 

 

Tanda -tanda kabur penglihatan

 

 

Kebiasaannya, kanak-kanak tidak mampu membezakan penglihatan yang normal dengan tidak normal memandangkan mereka mungkin menganggap semua yang dilihat itu adalah normal. 

 

Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga harus peka dengan tabiat penglihatan anak-anak supaya dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi termasuk keluhan dari anak-anak yang kadangkala memberi petunjuk tentang tahap penglihatan mereka.

 

Antara tanda-tanda kabur penglihatan :-

 

  1. Kedudukan kepala yang abnormal (kepala senget/teleng) ketika memfokus contohnya ketika menonton televisyen dan membaca.

  2. Juling.

  3. Membaca atau menulis pada jarak yang sangat dekat.

  4. Kesilapan atau lambat menyalin apa yang ditulis oleh guru di papan hitam/putih.

  5. Kerap meniru kawan di sebelah berbanding menyalin dari papan hitam/putih atau lebih gemar mendekati papan hitam/putih jika diarahkan menyalin.

  6. Gemar menonton televisyen pada jarak yang dekat. Jika dijauhkan dari televisyen, anak gemar mengecilkan mata untuk memfokus.

  7. Selalu menggosok mata walaupun bukan ketika mengantuk dan kerap mengerdipkan mata.

  8. Sensitif terhadap cahaya.

  9. Mata kerap berair secara berlebihan.

  10. Gemar menutup sebelah mata ketika memfokus contohnya ketika membaca atau menonton televisyen.

  11. Mengelak atau tidak gemar dengan aktiviti dekat seperti membaca atau aktiviti jauh seperti bermain bola.

  12. Kerap mengadu sakit kepala atau mata sakit/penat.

  13. Sukar menganggar jarak.

  14. Mengadu melihat objek menjadi dua (double vision.)

Kesimpulannya, masalah penglihatan kanak-kanak sangat penting untuk dirawat pada usia muda, sebelum ia mengganggu perkembangan fungsi penglihatan yang lain dan seterusnya mampu memberi kesan negatif kepada pembelajaran, perkembangan sosial dan emosi, peluang pekerjaan serta kualiti hidup di masa hadapan.

 

Nasihat / Panduan

  1. Ambil berat dengan keluhan dan tabiat penglihatan anak-anak anda.

  2. Menjaga kesihatan bayi yang masih dalam kandungan dan mengambil vaksin seperti yang disarankan.

  3. Memastikan anak-anak menjalani aktiviti yang sihat dan seimbang.

  4. Menerima keadaan masalah penglihatan anak-anak dengan hati terbuka dan positif untuk membuat rawatan di peringkat awal.

  5. Pastikan anak-anak anda mendapat pemeriksaan mata seawal usia 4 tahun.

Rujukan : www.myhealth.gov.my

 

Please reload

Featured Posts

6 Tips Penting Penjagaan Cermin Mata Anda.

March 19, 2016

1/1
Please reload

Recent Posts